Kembara jiwa......menanti fajar di ufuk timur......

Wednesday, January 6, 2010

Kasih dan Sayang Allah..langit illahi

Salam.Saya mulakan penulisan pada tahun 2010 dengan kisah yang memberikan kesan yang mendalam pada hati saya sehingga hari ini. Gambar foto di atas adalah 'mitzbah' ataupun pancur emas. Fungsi pancur emas ini ialah sebagai laluan bagi air yang bertakung di atas Kaabah untuk mengalir turun ketika berlaku hujan. Perstiwa yang memberikan kesan kepada jiwa saya ketika menunaikan ibadah umrah pada tahun 2008. Ketika saya mengerjakan solat Maghrib berdekatan dengan Kaabah, hujan mulai turun, sedangkan kota Makkah ketika itu seperti biasa cuacanya. 40 darjah celcius suhu pada setiap hari. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk solat berdekatan dan hampir dengan Kaabah setiap kali masuk ke Masjidil Haram. Ketika berdiri untuk mengerjakan solat Maghrib, jaamah yang berada bersebelahan saya mencuit bahu dan menunjukkan jari ke langit.Awan hitam telah mula berkumpul betul bertepatan di atas Kaabah menandakan hujan akan turun.Saya menggangukkan kepala tanda mengiyakan tanpa berkata apa dan bersedia untuk bersolat. Ketika hampir kepada ruku, saya mula mendengar dan melihat rintikkan hujan, menandakan hujan mulai turun.Ditambah pula apabila rintikan hujan mula membasahi beg plastik bagi jemaah yang membawa bersama mereka kasut kerana kuwatir akan hilang.Tiba pada rakaat ketiga, hujan mulai turun mencurah-curah membasahi semua kawasan sekeliling Kaabah.Selesai solat sahaja keadaan mulai menjadi agak kelam kabut apabila ramai jemaah terutama dari Pakistan dan India sudah mulai gelisah dan meminta pada pihak polis yang menjaga kawasan Hijr Ismail agar di buka kawasan tersebut.Kawasan Hijr Ismail ditutup ketika waktu solat kerana memberikan ruang kepada imam untuk bersolat sunat di kawasan ini.Saya hanya melihat asakan dan tolakan daripada para jemaah yang sedang bertawaf mengelingi Kaabah. Saya tidak melakukan apa-apa. Hanya terpaku melihat kiswah Kaabah dibasahi oleh air hujan. Hati tidak berhenti-henti bersyukur kehadrat Allah kerana diberikan peluang yang jarang-jarang berlaku.Saya hanya berdiri melihat gelagat manusia.Beberapa orang Arab mula menalipon rakan mereka memberitahu bahawa hujan sedang turun dengan lebatnya sekitar Kaabah. Ketika saya mendongak ke atas ke arah pancur emas, saya terus terpaku terdiam walaupun baju sudah dibasahi oleh air hujan.Ketika melihat alir mulai mengalir dari pancur emas, satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Saya melihat seolah-olah Kaabah yang statik sudah mulai hidup apabila air mulai mengalir turun.Ini ditambah pula dengan percikkan air yang mengenai cuping yang terdapat di hujung pancur emas, menjadikan kawasan Hijr Ismail bagaikan disirami air rahmat.Saya menyeluk saku jubah mencari handset dan kamera.Kedua-duanya tertinggal di hotel.Mungkin Allah ingin melihatkan peristiwa ini pada diri saya sebagai satu hadiah yang ternilai.Terdapat sebahagian jemaah yang menadah air hujan, dan ada juga yang mengambil air sekitar kawasan Kaabah dan membasahi diri mereka dengan air hujan. Saya hanya berdiri melihat tingkah laku manusia.
p.s.sedang membaca buku Langit Illahi tulisan Hilal Asyraf

No comments:

Post a Comment