Kembara jiwa......menanti fajar di ufuk timur......

Tuesday, January 19, 2010

Orkes El Suraya Medan.....Kasih ibu bapa

Salam. Saya amat meminati kumpulan nasyid Orkes el Suraya dari Medan Sumatera.Kumpulan nasyid ini pimpinan Ahmad Baqi dengan beberapa orang penyanyi utamanya seperti Rukiah Zain dan Asmidar Darwis amat popular di Malaysia sekitar tahun 70an. Sebenarnya semenjak di sekolah rendah lagi saya telah diperdengarkan nasyid ini. Abah telah membeli radio yang beserta dengan 'rekod'.Walaupun dari kualiti yang murah dan tidak berjenama,rekod (pemain piring hitam) ini merupakan penghibur bagi kami sekeluarga. Ketika itu abah telah membeli beberapa album samada dalam bentuk EP ataupun LP sebagai bahan hiburan.Antara album yang masih saya ingat ialah album Holiday in Beirut pimpinan Orkestra Goldenmeyer di mana muzik ala padang pasir ini seringkali di perdengarkan pada waktu pagi di Radio Malaysia samada sebelum azan Subuh ataupun Maghrib.Kak Ani pula telah membeli album Akhir Sebuah Impian nyanyian Emilia Contessa dan Broery Marantika(Filem kedua dari Indonesia yang telah memecah 'box office' di Malaysia selepas filem Cinta Pertama lakonan Christine Hakim dan Slamet Rahardjo). Inilah album yang berulang kali kami mainkan kerana tidak mampu untuk membeli album yang baru. Keadaan ini menyebabkan saya begitu sinonim dengan kumpulan nasyid Orkes el Suraya dan abah tidak melarang jika saya memperkuatkan bunyi kerana nasyid ini mengandungi unsur-unsur nasihat dan juga hiburan. Ditambah pula dengan suara penyanyi utamanya yang mendayu-dayu...amat menyentuh perasaan. menjelang tahun 80an apabila penciptaan kaset dan' catridge' saya masih membeli album el Suraya ini kerana harganya yang lebih murah terutama keluaran Life Record Malaysia(lanun cetak rompak masih belum berleluasa ketika ini).
Ketika zaman disko dan rock kapak muncul, menyebabkan saya telah melupakan terus kumpulan nasyid ini. Walaupun saya cuba mencari di beberapa tempat, kurangnya sambutan dan apabila nasyid kotemporari seperti Kumpulan Raihan,Hijjaz dan Rabbani muncul, tidak ramai yang mendengar lagi kumpulan ini.
Pada tahun 2008, ketika saya mengerjakan umrah di Tanah Suci, tiba-tiba lagu ini muncul apabila mutawif kami Idris menyanyikan lagu Cita-cita dari album el Suraya secara alcapella semasa dalam perjalanan dari Jabal Uhud ke Masjid Jaranah (miqat yang kedua terdekat selepas Tanaim untuk berniat ihram).Ingatan saya terus mengimbau semula ketika tahun 70an.Sekembalinya saya ke Malaysia, saya cuba untuk mencari album ini tetapi gagal. Sehinggalah suatu pagi, rakan sekerja Kak Afza, asyik di dalam kereta Mercedesnya mendengar lagu. Saya mengetuk cermin tingkap kereta,(kebetulan saya parking kereta bersebelahan dengan kereta dia).Kak Afza menunjukkan album berkembar kumpulan nasyid Orkes el Suraya.Mohon kebenaran dari Kak Afza untuk 'burn' cd.Sila hayati lirik lagu nasyid bertajuk 'Chita Chita' nyanyian kumpulan ini.

Cita Cita

Kalau berkayuh, menuju pantai
Kerap bersua, ragam halangan
Tidak semua, hasratkan sampai
Kadang terbentur di tengah jalan

Tapi bila kaki, telah melangkah
Jangan dikenang lagi akan kembali
Walaupun tiang layar, berderap patah
Namun sebelum sampai, jangan berhenti

Janganlah hati beragak singgah
Kerna melihat pulau indah menanti
Bukan semua yang tanpa indah
Tahan luntur di panas terik

Bukan semua cita cita
Dapat dicapai dengan mudahnya
Tapi ku yakin dibalik derita
Bahagia menanti sesudahnya

Bila bintang tak juga terbit
Harus tabah hati menerima
Yakinlah bila bulan dah sabit
Esok lusa pasti purnama

No comments:

Post a Comment