Kembara jiwa......menanti fajar di ufuk timur......

Wednesday, November 30, 2011

20 Amalan Murah Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:


1. Menyempatkan diri beribadah
  • Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." ...(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
  • Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." ...(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat
  • Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat bukan saja membuat hati resah dan gelisah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: "... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." ...(Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah
  • Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." ...(Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
  • Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
  • Baginda s.a.w. juga bersabda: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." ...(Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim).
  • Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya. " ...(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
  • Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." ...(Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
  • Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya..." ...(Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
  • Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.
  • Firman Allah: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat untuk Nabi . Hai orang-orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." ...(Al-Ahzab: 56)

9. Buat kebajikan banyak-banyak
  • Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya. "

10. Berpagi-pagi
  • Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
  • Nabi s.a.w. bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya. " ...(Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
  • Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." ...(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
  • Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." ...(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
  • Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
  • Mughirah bin Syu'bah berkata, "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bangun untuk sholat sehingga kedua telapak kaki atau kedua betis beliau bengkak." Lalu dikatakan kepada beliau, '"Allah mengampuni dosa-dosamu terdahulu dan yang kemudian, mengapa engkau masih sholat seperti itu?" Lalu, beliau menjawab, "Apakah tidak seharusya bagiku menjadi hamba yang bersyukur?'"

15. Melazimi solat Dhuha
  • Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." ...(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah
  • Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." ...(Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
  • Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
  • Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
  • Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. ...Wallahu a'lam.

18. Berdoa
  • Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
  • Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa ingin agar do'anya terkabul dan kesulitan-kesulitannya terselesai hendaklah dia menolong orang yang dalam kesempitan." ...(Riwayat Ahmad)
  • Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa tidak (pernah) berdo'a kepada Allah maka Allah murka kepadanya." ...(Riwayat Ahmad)

19. Berikhtiar sehabisnya
  • Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa ; "Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. " ...(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
  • Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.
  • Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
  • Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." ...(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3).

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
-----

Kalimat rezeki di dalam al-Qur'an

Kalimat "razaqa" diterjemah kepada rezeki dalam Bacaan. Ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan "rezeki" adalah seperti di bawah:

Al-Baqarah 2:3. Yang mempercayai yang ghaib, dan melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) sebahagian daripada apa yang Kami merezekikan mereka,
(nafkah)

Al-Baqarah 2:22. Yang membuatkan bagi kamu bumi sebagai hamparan, dan langit sebagai atap, dan menurunkan dari langit, air; dengannya Dia mengeluarkan buah-buahan untuk rezeki kamu. Maka janganlah mengadakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya.
(buah-buahan)

Al-Baqarah 2:25. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan (amal salih), bahawa bagi mereka taman-taman (jannah) yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki dengan buah-buahan, rezeki di dalamnya, mereka berkata, "Inilah yang kami diberi rezeki dari dahulu"; bahawa mereka diberi yang serupa (mutasyabihat) dengannya, dan di dalamnya, bagi mereka teman-teman hidup yang dibersihkan, dan di dalamnya, mereka tinggal selama-lamanya.
(di syurga)

Al-Baqarah 2:57. Dan Kami membentangkan awan untuk meneduhkan kamu, dan Kami menurunkan manna dan salwa kepada kamu; "Makanlah benda-benda yang baik daripada apa yang Kami merezekikan kamu." Dan mereka tidak menzalimi Kami, tetapi diri-diri mereka sendiri, mereka menzalimkan.
(manna dan salwa)

Al-Baqarah 2:60. Dan apabila Musa memohon air untuk kaumnya, Kami berkata, "Pukullah batu dengan tongkat kamu"; dan memancarlah daripadanya dua belas mata air; semua orang mengetahui tempat minum mereka. "Makan dan minumlah daripada rezeki Allah, dan janganlah kamu membuat kecelakaan di bumi dengan membuat kerosakan."

Al-Baqarah 2:126. Dan apabila Ibrahim berkata, "Pemeliharaku, buatkanlah ini sebuah negeri yang aman, dan berilah rezeki penduduknya dengan buah-buahan, untuk mereka yang percaya kepada Allah dan Hari Akhir antara mereka." Dia berkata, "Sesiapa yang tidak percaya Aku akan memberikan kesenangan sedikit, kemudian Aku akan memaksa dia kepada azab Api; betapa buruknya satu kepulangan!"
(rezeki untuk semua, yang percaya dan tidak percaya)

Al-Baqarah 2:172. Wahai orang-orang yang percaya, makanlah benda-benda yang baik daripada apa yang Kami merezekikan kamu, dan berterimakasihlah kepada Allah, jika Dia kamu sembah.
(makan yang baik)

Al-Baqarah 2:212. Dinampakkan indah bagi orang-orang yang tidak percaya (kafir) ialah kehidupan dunia, dan mereka mengejek orang-orang yang percaya; tetapi orang-orang yang bertakwa adalah di atas mereka pada Hari Kiamat; dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki tanpa perhitungan.
(diejek kerana rezeki yang kurang?)

Al-Baqarah 2:233. Para ibu akan menyusukan anak-anak mereka dua tahun genap, bagi orang yang menghendaki untuk menyempurnakan penyusuan. Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik. Tiada jiwa dibebani melainkan menurut kesanggupannya. Seorang ibu tidak akan disusahkan untuk anaknya, dan tidak juga seorang bapa untuk anaknya, dan atas waris, serupa dengan yang demikian. Tetapi jika keduanya menghendaki, dengan persetujuan bersama dan perundingan, untuk tidak menyusukan, maka tidaklah ada kesalahan ke atas mereka. Dan jika kamu berkehendak untuk mencari penyusu bagi anak-anak kamu, tidaklah bersalah ke atas kamu asal sahaja kamu menyerahkan apa yang kamu beri dengan baik; dan takutilah Allah, dan ketahuilah bahawa Allah melihat apa yang kamu buat.
(bapa beri rezeki)

Al-Baqarah 2:254. Wahai orang-orang yang percaya, nafkahkanlah daripada apa yang Kami merezekikan kamu, sebelum datang satu hari yang padanya tiada jual beli, dan tiada persahabatan, dan tiada juga syafaat (pengantaraan); dan orang-orang yang tidak percaya - merekalah orang-orang yang zalim.
(nafkah)

Ali 'Imran 3:27. Engkau menjadikan malam memasuki ke dalam siang, dan Engkau menjadikan siang memasuki ke dalam malam, dan Engkau mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau mengkehendaki tanpa perhitungan."

Ali 'Imran 3:37. Pemeliharanya menerima anaknya dengan penerimaan yang baik, dan dengan kebaikan-Nya, dia membesar dengan menarik hati, dan Zakaria menjaganya. Setiap kali Zakaria masuk kepadanya di mihrabnya (bilik ibadat), dia mendapati rezekinya. Dia berkata, "Wahai Mariam, dari manakah ini kepada kamu?" Dia berkata, "Daripada Allah." Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki tanpa perhitungan.

Ali 'Imran 3:169. Janganlah menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah sebagai sudah mati, tetapi hidup di sisi Pemelihara mereka, diberi rezeki oleh-Nya.
(dibunuh jalan Allah)

An Nisaa' 4:5. Tetapi janganlah kamu memberikan orang-orang yang bodoh harta mereka yang Allah melantik kamu untuk mengurusnya; berilah rezeki untuk mereka, dan pakaian mereka daripadanya, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik.
(orang bodoh)

An Nisaa' 4:8. Dan apabila pembahagian itu dihadiri sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, maka berilah rezeki untuk mereka daripadanya, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik.
(harta pesaka)

An Nisaa' 4:39. Apakah bagi mereka, sekiranya mereka percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan menafkahkan daripada apa yang Allah merezekikan mereka? Allah mengetahui mereka.
(nafkah)

Al Maa-idah 5:88. Makanlah daripada apa yang Allah merezekikan kamu, yang halal dan baik; dan takutilah Allah, yang kepada-Nya kamu orang-orang mukmin.
(makanan)

Al Maa-idah 5:114. Berkata Isa putera Mariam, "Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki."

Al An'aam 6:140. Rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka dalam kebodohan, tanpa pengetahuan, dan mereka mengharamkan apa yang Allah merezekikan mereka, dengan mengada-adakan terhadap Allah; mereka sesat, dan tidak mendapat petunjuk yang benar.
(mengharamkan rezeki daripada Allah)

Al An'aam 6:142. Dan daripada binatang ternak, untuk pengangkutan dan untuk disembelih, makanlah daripada apa yang Allah merezekikan kamu, dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan; ia adalah musuh yang nyata bagi kamu.
(binatang ternak)

Al An'aam 6:151. Katakanlah, "Marilah, aku akan membacakan apa yang Pemelihara kamu mengharamkan kamu: bahawa kamu tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya, dan berbuat baik kepada ibu bapa, dan tidak membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan; Kami memberi rezeki kepada kamu, dan kepada mereka; dan bahawa kamu tidak mendekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan bahawa kamu tidak membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu faham.
(bunuh anak kerana kurang rezeki)

Al A'raaf 7:32. Katakanlah, "Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia mengeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya?" Katakanlah, "Ini, pada Hari Kiamat, adalah khas bagi orang-orang yang percaya di dalam kehidupan dunia ini." Begitulah Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengetahui.
(jangan haramkan rezeki daripada perhiasan)

Al A'raaf 7:50. Orang-orang Api memanggil orang-orang Taman, "Curahkanlah kepada kami air, atau daripada apa yang Allah merezekikan kamu!" Mereka berkata, "Allah mengharamkan mereka kepada orang-orang yang tidak percaya,

Al A'raaf 7:160. Dan Kami memotongkan mereka kepada dua belas puak, umat-umat. Dan Kami mewahyukan Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya, "Pukullah dengan tongkat kamu batu itu"; dan memancarlah daripadanya dua belas mata air; semua orang mengetahui tempat minum mereka. Dan Kami membentangkan awan untuk meneduhkan mereka, dan Kami menurunkan manna dan salwa kepada mereka. "Makanlah benda-benda yang baik daripada apa yang Kami merezekikan kamu." Dan mereka tidak menzalimi Kami, tetapi diri-diri mereka sendiri, mereka menzalimkan.

Al Anfaal 8:3. Orang-orang yang melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka.
(nafkah)

Al Anfaal 8:4. Mereka itulah sebenarnya orang-orang mukmin; bagi mereka darjat-darjat di sisi Pemelihara mereka, dan keampunan, dan rezeki yang mulia.

Al Anfaal 8:26. Dan ingatlah ketika kamu sedikit dan hina di bumi, dan takut-takut manusia akan menyambar kamu; tetapi Dia memberi kamu perlindungan dan Dia mengukuhkan kamu dengan pertolongan-Nya, dan merezekikan kamu dengan benda-benda yang baik, supaya kamu berterima kasih.
(ketika takut ditangkap)

Al Anfaal 8:74. Dan orang-orang yang percaya, dan berhijrah, dan berjuang di jalan Allah, dan orang-orang yang memberi perlindungan, dan pertolongan, mereka itulah sebenarnya orang-orang mukmin, dan bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia.

Yunus 10:31. Katakanlah, "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan siapakah yang mengarah urusan?" Mereka akan berkata, "Allah." Kemudian katakanlah, "Tidakkah kamu bertakwa?"
(dari langit dan bumi)

Yunus 10:59. Katakanlah, "Adakah kamu memikirkan rezeki yang Allah menurunkan untuk kamu, dan kamu membuat sebahagiannya haram, dan sebahagiannya halal?" Katakanlah, "Adakah Allah memberi izin kepada kamu, atau kamu mengada-adakan terhadap Allah?"
(mengharamkan rezeki)

Yunus 10:93. Dan Kami menempatkan Bani Israil di sebuah penempatan yang sebenar, dan Kami merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik; maka mereka tidak berselisih sehingga pengetahuan datang kepada mereka. Sesungguhnya Pemelihara kamu akan memutuskan antara mereka pada Hari Kiamat mengenai apa yang mereka memperselisihkan.

Hud 11:6. Tiada makhluk yang merayap di bumi melainkan atas Allah rezekinya, dan Dia mengetahui tempat menginapnya, dan tempat simpanannya, semuanya di dalam Kitab yang jelas.
(atas Allah)

Hud 11:88. Dia berkata, "Wahai kaumku, apa pendapat kamu, jika aku di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharaku, dan Dia merezekikan aku dengan rezeki yang baik daripada-Nya; dan aku tidak menghendaki untuk menentang kamu pada apa yang aku melarang kamu; aku hanya menghendaki untuk memperbetulkan, sebarang yang aku boleh, dan pertolonganku hanyalah dengan Allah. Kepada-Nya aku mempercayakan (tawakal), dan kepada-Nya aku berkesesalan.

Yusuf 12:37. Dia berkata, "Tiada makanan datang kepada kamu untuk rezeki kamu, melainkan sebelum ia datang kepada kamu, aku akan memberitahu kamu interpretasinya. Itu adalah daripada apa yang Pemeliharaku mengajarku. Aku telah meninggalkan anutan kaum yang tidak mempercayai Allah, dan mereka tidak percaya kepada akhirat.

Ar Ra'd 13:22. Orang-orang yang bersabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang menolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad,
(nafkah)

Ar Ra'd 13:26. Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa yang Dia mengkehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan dunia ini; dan kehidupan dunia ini, di samping akhirat, hanyalah kesenangan sementara.
(menjulur dan menyempitkan rezeki)

Ibrahim 14:31. Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang percaya, bahawa mereka melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, sebelum datang satu hari yang padanya tiada jual beli, dan tiada juga persahabatan.
(nafkah)

Ibrahim 14:32. Allah yang mencipta langit dan bumi, dan menurunkan dari langit, air; dengannya Dia mengeluarkan buah-buahan untuk menjadi rezeki kamu. Dan Dia menundukkan untuk kamu kapal-kapal untuk berlayar di laut dengan perintah-Nya; dan Dia menundukkan sungai-sungai untuk kamu.
(buah-buahan)

Ibrahim 14:37. Wahai Pemelihara kami, aku menempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai dekat dengan Rumah Suci Engkau; wahai Pemelihara kami, agar mereka melakukan solat, dan buatkanlah hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih.
(buah-buahan)

Al Hijr 15:20. Di dalamnya membuatkan untuk kamu penghidupan, dan untuk mereka yang kamu tidak memberi rezeki.

Al Nahl 16:56. Dan mereka membuatkan sebahagian daripada apa yang Kami merezekikan mereka kepada apa yang mereka tidak tahu. Demi Allah, kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu mengada-adakan.
(membuat ....?)

Al Nahl 16:67. Dan daripada buah-buahan palma dan anggur, kamu mengambil daripadanya minuman yang memabukkan, dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang memahami.
(jus)

Al Nahl 16:71. Dan Allah melebihkan sebahagian kamu di atas sebahagian yang lain dalam rezeki; tetapi orang-orang yang dilebihkan tidak akan menyerahkan rezeki mereka kepada apa yang tangan-tangan kanan mereka memiliki supaya mereka menjadi sama. Apa, dan adakah mereka menyangkal rahmat Allah?
(rezeki lebih dan kurang)

Al Nahl 16:72. Allah membuatkan untuk kamu daripada diri-diri kamu isteri-isteri, dan Dia membuatkan untuk kamu daripada isteri-isteri kamu, anak-anak dan cucu-cucu, dan Dia merezekikan kamu daripada benda-benda yang baik. Apa, adakah mereka mempercayai yang palsu, dan adakah mereka tidak percaya kepada rahmat Allah?

Al Nahl 16:73. Dan mereka sembah, selain daripada Allah, apa yang tidak ada kuasa untuk memberi rezeki kepada mereka sedikit pun dari langit dan bumi, dan tidak boleh berbuat apa-apa?
(menyembah yang tidak beri rezeki)

Al Nahl 16:75. Allah membuat satu persamaan: seorang hamba yang dimiliki tuannya yang tidak berkuasa terhadap sesuatu, dan orang yang Kami merezekikan daripada Kami Sendiri dengan rezeki yang baik, dan dia menafkahkan daripadanya secara rahsia dan terang-terangan. Adakah mereka sama? Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
(persamaan)

Al Nahl 16:112. Allah membuat satu persamaan: sebuah bandar raya yang aman, tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan senang dari tiap-tiap tempat, kemudian ia tidak percaya (kafir) akan rahmat-rahmat Allah; maka Allah merasakannya pakaian kelaparan dan ketakutan kerana apa yang mereka mengerjakan.
(pakaian kelaparan dan ketakutan)

Al Nahl 16:114. Maka makanlah daripada apa yang Allah merezekikan kamu, yang halal, yang baik; dan berterimakasihlah atas rahmat Allah, jika Dia kamu sembah.
(makanan)

Al Israa' 17:30. Sesungguhnya Pemelihara kamu menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa yang Dia mengkehendaki; sesungguhnya Dia menyedari, melihat hamba-hamba-Nya.
(menjulur dan menyempitkan)

Al Israa' 17:31. Dan janganlah membunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan; Kami memberi rezeki untuk kamu dan mereka. Sesungguhnya pembunuhan mereka adalah kesalahan besar.
(bunuh anak)

Al Israa' 17:70. Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan melebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta.
(manusia dilebihkan dalam rezeki)

Al Israa' 18:19. Dan demikianlah Kami membangkitkan mereka supaya mereka saling bertanya antara mereka. Seorang daripada mereka berkata, "Berapa lamakah kamu tinggal?" Mereka berkata, "Kami tinggal selama sehari atau sebahagian hari." Mereka berkata, "Pemelihara kamu sangat mengetahui berapa lama kamu tinggal. Hantarlah salah seorang antara kamu dengan duit perak ini ke kota, dan hendaklah dia memerhatikan siapa antara mereka yang mempunyai makanan yang paling suci, dan mendatangkan kepada kamu rezeki darinya; hendaklah dia bersopan santun, dan janganlah memberitahu seorang pun mengenai kamu.

Maryam 19:62. Di dalamnya, mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia, tetapi hanya, "Salam", dan di dalamnya, mereka mendapat rezeki mereka pada awal pagi dan petang.
(di syurga)

Thaahaa 20:81. "Makanlah benda-benda yang baik yang Kami merezekikan kamu, tetapi janganlah melampaui batas padanya, atau kemurkaan-Ku akan turun kepada kamu; dan sesiapa yang diturunkan kepadanya kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.
(makanan - jangan melampaui batas)

Thaahaa 20:131. Janganlah kamu memanjangkan mata-mata kamu kepada apa yang Kami memberikan pasangan-pasangan antara mereka, untuk bersenang dengan bunga kehidupan dunia, supaya Kami menguji mereka dengannya; dan rezeki Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan lebih kekal.
(jangan inginkan)

Thaahaa 20:132. Dan suruhlah keluarga kamu bersolat, dan bersabarlah kamu padanya; Kami tidak meminta daripada kamu rezeki, tetapi Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu. Dan kesudahan adalah bagi orang yang bertakwa.
(minta rezeki dalam solat)

Al Hajj 22:28. Supaya mereka mempersaksikan pelbagai manfaat kepada manusia, dan mengingati (menyebut) nama Allah pada hari-hari yang diketahui pada haiwan ternakan yang Dia merezekikan mereka, "Maka makanlah daripadanya, dan berilah makan orang-orang fakir yang sengsara."
(ternakan)

Al Hajj 22:34. Kami menentukan bagi tiap-tiap umat satu peribadatan supaya mereka mengingati nama Allah pada haiwan ternakan yang Dia merezekikan mereka. Tuhan kamu Tuhan Yang Satu, maka kepada-Nya tunduk patuhlah. Dan kamu berilah berita gembira kepada orang-orang yang merendah diri,

Al Hajj 22:35. Orang-orang yang, apabila Allah diingatkan (disebut), hati mereka gementar, dan yang bersabar atas apa sahaja yang menimpa mereka, dan yang melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka.
(nafkah)

Al Hajj 22:50. Orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan, bagi mereka, keampunan dan rezeki yang mulia.

Al Hajj 22:58. Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan dibunuh, atau mati, Allah pasti akan memberi rezeki kepada mereka dengan rezeki yang baik; dan sesungguhnya Allah, Dia yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki.

Al Mu'minuun 23:72. Atau kamu meminta kepada mereka ufti? Ufti daripada Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan Dia yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki.

An Nuur 24:26. Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. Mereka inilah yang terlepas daripada apa yang mereka mengatakan; bagi mereka, keampunan dan rezeki yang mulia.

An Nuur 24:38. Supaya Allah membalas mereka kerana pekerjaan mereka yang paling baik, dan menambahkan kepada mereka daripada pemberian-Nya; dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki tanpa perhitungan.
(sila rujuk 24:37)

An Naml 27:64. Atau, siapakah yang memulai ciptaan, kemudian mengembalikannya semula, dan memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah tuhan selain Allah? Katakanlah, "Kemukakanlah bukti kamu, jika kamu berkata benar?"

Al Qashash 28:54. Mereka ini diberi upah mereka dua kali kerana mereka bersabar, dan menolak kejahatan dengan yang baik, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka.
(sabar, tolak kejahatan dengan baik dan nafkah)

Al Qashash 28:57. Mereka berkata, "Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, kami akan disambar daripada bumi." Tidakkah Kami meneguhkan bagi mereka tempat suci yang aman di mana dikumpulkan segala sesuatu buah-buahan, sebagai rezeki daripada sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
(buah-buahan)

Al Qashash 28:82. Dan pada waktu pagi, orang-orang yang menginginkan tempatnya kelmarin berkata, "Aduhai, Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Sekiranya Allah tidak berbudi baik kepada kami, tentu Dia membuatkan kami ditelan juga. Aduhai, orang-orang yang tidak percaya tidak beruntung!"
(yang ditelan itu adalah Karun)

Al 'Ankabuut 29:17. Kamu hanya menyembah, selain daripada Allah, berhala-berhala, dan kamu mencipta kedustaan; sesungguhnya orang-orang yang kamu sembah, selain daripada Allah, tidak berkuasa untuk memberi rezeki kepada kamu. Maka carilah rezeki kamu di sisi Allah, dan sembahlah Dia, dan berterimakasihlah kepada-Nya; kepada-Nya kamu akan dikembalikan.
(cari rezeki)

Al 'Ankabuut 29:60. Berapa banyaknya haiwan yang tidak membawa rezekinya sendiri, tetapi Allah memberi rezeki untuknya dan kamu! Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.
(haiwan yang tidak bawa rezekinya)

Al 'Ankabuut 29:62. Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya; sesungguhnya Allah mengetahui segala sesuatu.
(menjulur dan menyempitkan)

Ar Ruum 30:28. Dia membuatkan untuk kamu persamaan daripada diri-diri kamu sendiri: adakah bagi kamu, antara yang tangan-tangan kanan kamu memiliki, sekutu-sekutu, dalam apa yang Kami merezekikan kamu, supaya kamu menjadi sama padanya, dengan kamu menakuti mereka seperti kamu takut pada sesama kamu sendiri? Begitulah Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang memahami.
(persamaan)

Ar Ruum 30:37. Tidakkah mereka melihat bahawa Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa yang Dia mengkehendaki? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang mempercayai.
(menjulur dan menyempitkan)

Ar Ruum 30:40. Allah ialah Dia yang mencipta kamu, kemudian Dia merezekikan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu; adakah daripada sekutu-sekutu kamu yang membuat sesuatu daripada yang demikian itu? Dia disanjung! Tingginya Dia daripada apa yang mereka menyekutukan!

Al Sajdah 32:16. Lambungan-lambungan mereka menjauhkan daripada tempat-tempat tidur, sambil mereka berseru kepada Pemelihara mereka dengan takut dan harapan; dan mereka menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka.
(nafkah)

Al Ahzab 33:31. Tetapi sesiapa antara kamu yang patuh kepada Allah, dan rasul-Nya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, Kami akan memberikan upahnya dua kali; Kami menyediakan untuknya rezeki yang mulia.

Saba' 34:4. Supaya Dia membalas orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan; bagi mereka, keampunan dan rezeki yang mulia.
(percaya dan buat kerja kebaikan)

Saba' 34:15. Bagi Sabak juga ada satu ayat di tempat-tempat tinggal mereka - dua kebun (jannah), satu di sebelah kanan, dan satu di sebelah kiri: "Makanlah daripada rezeki Pemelihara kamu, dan berterimakasihlah kepada-Nya; sebuah tanah (negeri) yang baik, dan Pemelihara yang Pengampun."

Saba' 34:24. Katakanlah, "Siapakah yang memberi rezeki untuk kamu dari langit dan bumi?" Katakanlah, "Allah. Sesungguhnya, sama ada kami atau kamu adalah di atas petunjuk yang benar, atau dalam kesesatan yang nyata."
(langit dan bumi)

Saba' 34:36. Katakanlah, "Pemeliharaku menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya."
(menjulur dan menyempitkan)

Saba' 34:39. Katakanlah, "Pemeliharaku menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya; dan apa sahaja benda yang kamu menafkahkan, Dia akan menggantinya. Dia yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki."
(nafkah diganti)

Fathir 35:3. Wahai manusia, ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu; adakah pencipta, selain daripada Allah, yang memberi rezeki untuk kamu dari langit dan bumi? Tidak ada tuhan melainkan Dia; maka bagaimanakah kamu boleh berpaling?
(langit dan bumi)

Fathir 35:29. Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitab Allah, dan melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia,
(nafkah)

Yaasin 36:47. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Nafkahkanlah daripada apa yang Allah telah merezekikan kamu", orang-orang yang tidak percaya berkata kepada orang-orang yang percaya, "Apa, adakah kami memberi makan kepada orang yang, jika Allah menghendaki, Dia memberinya makan? Kamu hanyalah dalam kesesatan yang nyata!"
(enggan nafkah)

Ash Shaaffaat 37:41. Bagi mereka, rezeki yang diketahui,
(hamba yang tulus - ayat 40)

Shaad 38:54. Sesungguhnya ini adalah rezeki Kami yang tidak akan habis."

Az Zumar 39:52. Adakah mereka mengetahui bahawa Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang mempercayai.
(menjulur dan menyempitkan)

Al Mu'min 40:13. Dia yang memperlihatkan kepada kamu ayat-ayat-Nya, dan menurunkan kepada kamu dari langit, rezeki; namun begitu, tiada yang mengingati kecuali orang yang berkesesalan.
(dari langit)

Al Mu'min 40:40. Sesiapa yang membuat kejahatan akan dibalas hanya dengan yang serupa dengannya, tetapi sesiapa membuat satu kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia mukmin - mereka itu akan masuk ke Taman, di dalamnya diberi rezeki tanpa perhitungan.
(di syurga)

Al Mu'min 40:64. Allah yang membuatkan untuk kamu, bumi, sebuah tempat yang tetap, dan langit, bangunan; dan Dia membentuk kamu, dan membentuk kamu dengan baik, dan merezekikan kamu dengan benda-benda yang baik. Demikian itulah Allah, Pemelihara kamu, maka berkatnya Allah, Pemelihara semua alam.
(bentuk dan rezeki yang baik)

Asy Syura 42:12. Bagi-Nya kepunyaan kunci-kunci langit dan bumi. Dia menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa yang Dia mengkehendaki; sesungguhnya Dia mengetahui segala sesuatu.
(menjulur dan menyempitkan)

Asy Syura 42:19. Allah Halus kepada hamba-hamba-Nya, dengan memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki. Dia Yang Kuat, Yang Perkasa.

Asy Syura 42:27. Sekiranya Allah menjulurkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, tentu mereka menyalahi di bumi; tetapi Dia menurunkan menurut ukuran apa sahaja yang Dia mengkehendaki; sesungguhnya Dia menyedari, melihat hamba-hamba-Nya.
(menyalahi di bumi bila dapat lebih)

Asy Syura 42:38. Dan orang-orang yang menyahuti Pemelihara mereka, dan melakukan solat, dan urusan mereka adalah dengan perundingan antara mereka, dan mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka,
(nafkah)

Al Jaatsiyah 45:5. Dan pada pergantian malam dan siang, dan rezeki yang Allah menurunkan dari langit, dan dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati, dan perkisaran angin, adalah ayat-ayat bagi kaum yang memahami.
(dari langit)

Al Jaatsiyah 45:16. Sesungguhnya Kami telah memberikan Bani Israil al-Kitab, dan Putusan, dan Kenabian, dan Kami merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan Kami melebihkan mereka di atas semua alam.

Qaaf 50:11. Rezeki untuk hamba-hamba, dan dengannya Kami menghidupkan tanah yang telah mati. Begitulah kekeluaran (kebangkitan).
(daripada kebun, tanaman biji-bijian, palman - lihat ayat 9 dan 10)

Adz Dzaariyaat 51:22. Dan di langit rezeki kamu, dan apa yang kamu dijanjikan.
(di langit)

Adz Dzaariyaat 51:57. Aku tidak menghendaki daripada mereka rezeki, dan tidak juga Aku menghendaki supaya mereka memberi Aku makan.

Adz Dzaariyaat 51:58. Sesungguhnya Allah, Dia Yang Pemberi Rezeki, Yang Mempunyai Kekuatan, Yang Teguh.

Al Waaqi'ah 56:82. Adakah kamu membuatkan ia rezeki kamu untuk berdusta?
(orang yang cari makan dengan menipu?)

Al Jumu'ah 62:11. Tetapi apabila mereka melihat perdagangan atau hiburan, mereka menyuraikan diri kepadanya, dan mereka meninggalkan kamu berdiri. Katakanlah, “Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik daripada hiburan dan perdagangan. Allah yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki.

Al Munaafiquun 63:10. Nafkahkanlah daripada apa yang Kami merezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, “Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau menangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik).”
(nafkah)

Ath Thalaaq 65:3. Dan Dia memberi rezeki kepadanya dari arah yang dia tidak menjangkakan. Dan sesiapa mempercayakan (tawakal) kepada Allah, Dia akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan ukuran bagi segala sesuatu.
(tidak dijangkakan)

Ath Thalaaq 65:7. Hendaklah orang yang mempunyai keluasan menafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang Allah memberinya. Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia memberikannya. Sungguh, Allah akan membuatkan, setelah kesukaran, yang mudah.
(nafkah semasa senang dan susah)

Ath Thalaaq 65:11. Seorang rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan dari kegelapan kepada cahaya. Sesiapa mempercayai Allah, dan membuat kerja-kerja kebaikan, Dia akan memasukkannya ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya, dan selamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan baginya rezeki yang baik.
(di akhirat)

Al Mulk 67:15. Dia yang membuatkan bumi patuh untuk kamu; maka berjalanlah di lorong-lorongnya, dan makanlah daripada rezeki-Nya; kepada-Nya Kebangkitan.
(makan, jangan haramkan)

Al Mulk 67:21. Atau, siapakah ini, yang akan memberi rezeki untuk kamu jika Dia menahan rezeki-Nya? Tidak, tetapi mereka berterusan dalam penghinaan dan pelarian.

Al Jin 72:16. Dan bahawasanya; jika mereka tetap berjalan lurus diatas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak)
(pegang Islam)

Al Mussatstsir 74:14. dan Ku lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) dengan selapang-lapangnya

Al-Fajr 89:16. Tetapi apabila Dia mengujinya, dan menyempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, "Pemeliharaku menghina aku."
(apabila diuji)

Dipetik daripada :The Mind Secret

No comments:

Post a Comment